Tuesday, July 24, 2007

SYAFAAT RASULULLAH

Syafaat Rasulullah

Dari : Riwayat Abu Daud
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.”

Huraian :

1. Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.
2. Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.
3. Islam melarang umatnya berdusta kerana berbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.
4. Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama di mana dengan itu barulah seseorang itu dikatakan layak mendapat syafaat daripada Rasulullah sebagaimana yang tersebut di dalam hadith tersebut.

HADIS SILATURAHIM

Memutuskan Silaturahim; Satu Dosa Besar

Dari : Riwayat al-bukhari
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim”

Huraian :


  1. Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.

  2. Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:” Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”

  3. Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

  4. Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

  5. Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.

HADIS BERTAQWA KEPADA ALLAH SWT

Bertaqwalah Kepada Allah S.W.T.

Dari : Riwayat Muslim
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menunjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)”.
Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.

Huraian :


  1. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T.

Pertama: Bertaqwa
Kedua : Kaya Jiwa (Berakhlak mulia)
Ketiga : Tidak menonjolkan diri

  1. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat.



HADIS BERSYUKUR

Tuntutan Bersyukur

Perawi Hadith : Riwayat At-Tabrani
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.”

Huraian :

Pengajaran Hadith:

  • Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang.

  • Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.

  • Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.

  • Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah kerana tujuan seseorang itu diambil berkhidmat adalah untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya ia dapat memberikan khidmat yang memuaskan kepada orang ramai dan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.




HADIS MENUNTUT ILMU

Menuntut Ilmu

Perawi Hadith : Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali “.

Huraian :


Pengajaran Hadith:

  • Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.

  • Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.

  • Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.






HIMPUNAN HADIS-HADIS

Keutamaan Niat


Perawi Hadith : Riwayat Muslim
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”

Huraian :

Pengajaran Hadith:

  1. Setiap manusia nilainya yang paling utama terletak pada amal perbuatan yang dilakukannya bukanlah pada rupa parasnya. Jika baik tingkahlakunya maka baiklah dia pada pandangan kita, begitulah sebaliknya.

  2. Namun pada pandangan Allah S.W.T selain daripada tingkahlaku dan amalan, nilai yang terpenting adalah pada niat orang yang melakukan sesuatu amal perbuatan itu sendiri.

  3. Maksud niat di sini adalah tujuan sesuatu perkara dilakukan iaitu sejauh mana keikhlasannya kerana sesuatu kebaikan yang ada ‘udang di sebalik batu’ tidak boleh dikategorikan sebagai ikhlas di mana maksud ikhlas tersebut ialah membuat sesuatu kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan selain daripada balasan Allah S.W.T.

  4. Lawan ikhlas adalah riya’ iaitu membuat sesuatu kebaikan dengan tujuan (niat) untuk menunjuk-nunjuk (mengampu atau membodek). Sifat ini akan menolak pahala daripada Allah S.W.T.

  5. Seorang yang ikhlas dalam kerjanya bererti dia tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga atau bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya setiap bulan bahkan dia menganggap kerjanya itu sebagai satu ibadah di mana wajib ke atasnya melaksanakan tanggungjawabnya itu dengan sempurna dan memuaskan.

  6. Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja-kerja yang bermutu di mana keikhlasan akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat.


SIFAT MAZMUMAH

Sifat-sifat Mazmumah

1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.



HUKUM AQAL

Pengertian Hukum 'Aqal

Hukum ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan suatu perkara daripada perkara yang lain dengan tidak berkehendak kepada dicuba pada menetapkan sesuatu perkara itu ( Adat ) dan tidak tergantung kepada sesuatu perbuatan yang diperbuat oleh mukallaf ( bersalahan dengan hukum Syari'e ).

Pengertian 'Aqal :

Adalah 'Aqal itu satu sifat yang dijadikan Allah s.w.t. pada manusia sehingga dengan itu manusia berbeza dengan haiwan. Maka dengannya boleh menerima ilmu Nazhariyyah ( Ilmu yang berkehendakkan berfikir ) dan boleh mentadbirkan segala pekerjaan dengan fikiran yang halus dan daripadanya tempat lahirnya berbagai-bagai manafaat dan kebahagiaan kepada manusia.

Dan aqal itu berhajat kepada undang-undang Syarak dan undang-undang Syarak juga tidak boleh berjalan mengikut yang dikehendaki melainkan berhajat kepada 'aqal. Dan di antara keduanya berhajat antara satu dengan yang lain ( ' Aqal berhajat kepada Syarak dan Syara' berhajat kepada 'Aqal ) .


Bahagian Hukum 'Aqal

Adalah hukum 'aqal itu terbahagi kepada tiga :

1) Wajib 'Aqli iaitu perkara yang tiada diterima 'aqal akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada.Yang demikian wajib bagi Allah s.w.t. bersifat qidam maka maksudnya ialah mesti ada Allah s.w.t bersifat qidam.

2) Mustahil 'Aqli iaitu perkara yang tidak diterima 'aqal akan adanya , hakikatnya mesti tiada . Yang demikian mustahil Allah s.w.t. bersifat baharu maka maksudnya tidak sekali-kali Allah s.w.t. itu bersifat baharu.

3) Harus 'Aqli iaitu perkara yang diterima 'aqal adanya dan tiadanya, maka hakikatnya boleh menerima ada dan tiada seperti keadaan seseorang itu adakalanya boleh bergerak atau diam.


Bahagian Wajib 'Aqli

Adalah wajib 'aqli terbahagi dua :

1) Wajib 'aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan kenyataan seperti menghukumkan satu itu tetap separuh daripada dua .

2) Wajib 'aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap adanya dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatang- kan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya itu seperti menghukumkan wajib adanya Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini berserta dengan bahasan dan dalil-dalilnya.


Bahagian Mustahil 'Aqli

Adalah Mustahil 'Aqli terbahagi dua :

1) Mustahil 'Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil seperti contoh menghukumkan tiada terima ;aqal satu itu separuh daripada tiga.

2) Mustahil 'Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumannya itu seperti menghukumkan tiada terima 'aqal ada yang mensyirik bagi Allah s.w.t. maka dengan itu 'aqal menghukumkan mustahil ada syirik bagi Allah s.w.t itu melainkan dengan diadakan bahasan dengan mendatangkan dalil.


Bahagian Harus 'Aqli

Adalah Harus A'qli itu terbahagi dua :

1) Harus 'Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu boleh terima ada dan tiada dengan tidak berkehendakkan bahasan dan mendatangkan dalil seperti menghukumkan keadaan seseorang itu adakalanya ia bergerak atau diam .

2) Harus 'Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan sesuatu boleh dijadikan atau tiada boleh dengan berkehendak kepada bahasan dan mendatangkan dalil-dalil seperti contoh memberikan ganjaran pahala kepada orang yang tidak beramal , maka 'aqal menghukumkan hal itu adalah harus melainkan dengan diadakan bahasan dan dalil-dalil yang menunjukkan harus pada Allah s.w.t. memberikan seperti itu .




ILMU TAUHID

Permulaan Ilmu Tauhid

Mabadi ( Permulaan ) Ilmu Tauhid

Perkataan ' Mabadi ' itu bahasa Arab jama' daripada perkataan mabda' Bererti : Punca , mula terbit . Maksudnya keterangan yang ringkas atau tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Disebut juga Pembukaan sesuatu ilmu. Adalah Mabadi ilmu tauhid itu sepuluh perkara :

1) Nama ilmu ini :
Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu 'Aqaid, Ilmu sifat dan Al-Iman.

2) Tempat ambilannya :
Iaitu diterbitkan daripada Al-Quraan dan Al-Hadith.

3) Kandungannya :
Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada Allahdan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperolehi I'ktikad yang yakin, kepercayaan yang putus yang mana ia akan menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan tersebut.

4) Tempat bahasannya ( Maudhu'nya )kepada empat tempat :

Pertama : Pada zat Allah Ta'ala dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padaNya.

Kedua : Pada zat Rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padanya.

Ketiga : Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh yang mana menjadi dalil dan bukti atas wujud yang menjadikannya.

Keempat : Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib contohnya arash , syurga , mahsyar ,neraka dan lain-lain tentang hari Qiamat.

5) Faedah Ilmu Tauhid :
Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.

6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain :
Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling utama sekali.

7) Yang menghantarkan :
Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Dan orang yang pertama menerima ilmu Tauhid daripada Allah Ta'ala ialah nabi Adam a.s. dan yang akhir sekali ialah Saidina Muhammad s.a.w.

8) Hukumnya :
Iaitu fardhu A'in atas tiap-tiap orang mukallaf lelaki atau perempuan mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t. dengan cara ijmal ( ringkas ) dan dengan cara tafsil ( huraian atau satu persatu ) berserta dengan dalil ijmal . Adapun mengetahui dalil tafsil itu fardhu kifayah .

9) Kelebihannya :
Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain kerana menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih afdhal daripada mengEsakan Allah dan ada sesuatu itu terlebih afdhal daripadanya ,nescaya tetaplah telah difardhukan ke atas MalaikatNya padahal setengah daripada Malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya."
( Riwayat Hakim )

10) Kesudahan ilmu ini :
Iaitu dapat membezakan di antara 'aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.

selayang pandang

Assalamualaikum wbt

SALAM UKHUWAH DIUCAPKAN KEPADA SEMUA YANG MENGUNJUNGI LAMAN INI. SALAM MANIS JUGA DIUCAPKAN KEPADA SEMUA PENGUNJUNG LAMAN INI. SEMOGA SEMUANYA DALAM KEADAAN SIHAT DIBAWAH LINDUNGAN ALLAH SWT. SALAM MANIS JUGA DIUCAPKAN KEPADA SEMUA PENGUNJUNG LAMAN INI. SEMOGA SEMUANYA DALAM KEADAAN SIHAT DIBAWAH LINDUNGAN ALLAH SWT. SEMOGA SAHABAT-SAHABAT YANG MENGUNJUNGI LAMAN INI MENDAPAT KEBAIKAN DAN DAPAT MEMANFAATKAN SETIAP NUKILAN INI UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN SEHARIAN. LAMAN ISLAMKU SAYANG INI JUGA DIHARAPKAN DAPAT MENGERATKAN LAGI IKATAN UKHUWAH KITA ANTARA SATU SAMA LAIN.HARAPAN KAMI SEMOGA LAMAN INI JUGA AKAN DAPAT MENINGKATKAN LAGI KEYAKINAN KITA DALAM MENJALANI FATAMORGANA KEHIDUPAN YANG PENUH PANCAROBA INI. SALAM MANIS SEKALIAN SAHABAT DENGAN KEIZINAN ALLAH SWT DAPAT JUGA KITA BERSUA WALAUPUN HANYA DIALAM MAYA INI TANPA MENGENAL WAJAH DIANTARA KITA. NAMUN BEGITU KITA TETAP BERSAUDARA DIBAWAH IMAN YANG SATU. SEMOGA KITA AKAN BERJAYA SEHINGGA AKHIRNYA TANPA MENGENAL JEMU DAN LELAH. KITA AKAN TETAP BERSUA MELALUI LAMAN INI DIANTARA SESIAPA SAJA DI SELURUH DUNIA. SEMOGA BERJAYA DAN GENBIRA SELAMANYA. SALAM UKHUWAH SEKALI LAGI DIHULURKAN. SELAMAT MENGUNJUNGI LAMAN ISLAMKU SAYANG INI. HADIAHKAN SENYUMAN UNTUK DIRI ANDA YANG TERSAYANG.

selayang pandang

Assalamualaikum wbt
SALAM UKHUWAH DIUCAPKAN KEPADA SEMUA YANG MENGUNJUNGI LAMAN INI.